Kita seringkali
melihat ayat yang berbunyi ‘Dinilai Sahih oleh Albani’ atau ‘Dinilai Hasan oleh
Albani’. Tahukah kita siapa itu Albani?
Beliau adalah
salah seorang imam Ahli Sunnah Wal Jamaah pada abad ini. Beliau mengorbankan
seluruh sisa hidupnya demi mengabdikan diri kepada Allah. Malah, beliau bukan
sahaja dikenali sebagai seorang ulama hadis bahkan beliau adalah salah
seorang di antara barisan para ulama yang mendapat gelaran sebagai pembaharu
Islam (Mujaddid al-Islam)
Beliau adalah
Muhammad Nasiruddin bin Nuh atau lebih dikenali dengan panggilan Abu
Abdurrahman – lahir pada tahun 1914 Masihi di ibu kota Albania dalam sebuah
keluarga yang sangat sederhana dan sibuk dengan ilmu agama. Bapanya, Haji Nuh
merupakan salah seorang ulama besar Albania pada masa itu. Ayahnya pernah
menuntut ilmu di Istanbul, Tuki, kemudian kembali semula ke Albania untuk
mengajarkan ilmu dan berdakwah. Lingkungan keluarga yang menaungi Shaykh Albani
ketika masih kanak-kanak, penuh dengan cahaya Islam , dan tampak sangat terjaga
dalam setiap sisi.
Ketika Ahmad
Zogo menjadi raja Albania, dia mula melancarkan pelbagai perubahan aturan
sosial besar-besaran bagaikan hantaman hebat yang menggoncangkan pondasi
orang-orang Islam. Tindakan yang dilakukan oleh raja Ahmad Zogo tersebut sama
dengan apa yang dilakukan oleh pemerintah Turki, Mustafa Ataturk; di mana para
wanita Albania diharuskan menanggalkan hijabnya, sehingga rangkaian fitnah dan
malapetaka pun tak terhindarkan. Sejak saat itu, kaum muslimin yang bimbang
akan agama mereka mengambil langkah untuk berhijrah ke negara-negara lain.
Antara keluarga
yang pertama berhijrah adalah keluarga Syaikh Haji Nuh, yang membawa agama dan
keluarganya ke Syria. Termasuk di dalamnya, sang Imam kecil, Muhammad
Nasiruddin al-Albani.
Di Damsyiq,
lelaki kecil Muhammad Nasiruddin mula menimba ilmu dengan mempelajari Bahasa
Arab di Madrasah Jam’iyah al-Is’af al-Hairi. Di sanalah beliau mula bertapak
dalam dunia ilmu dan kemudian mendaki kemuliaan sebagai seorang alim. Insan
yang pertama menanamkan pengaruh dalam dirinya adalah bapanya sendiri, Haji
Nuh, yang merupakan salah seorang ulama Madzhab Hanafi dikala itu. Untuk
beberapa lama beliau mengikuti mazhab Hanafi yang diajar oleh bapanya.
Walau
bagaimanapun, hidayah Allah sentiasa datang kepada orang yang dikehendaki
kebaikan pada dirinya. Setelah itu beliau muncul sebagai seorang yang tidak
terkekang dalam Madzhab tertentu. Begitulah Albani, beliau muncul sebagai
seorang pemuda yang unggul dalam kajian hadis, dan bertukar dari satu majlis
pengajian ke majlis pengajian yang lain demi menimba ilmu.
Tindakan beliau
dalam menuntut ilmu sangat tepat dan seiring dengan kehidupan beliau sehingga
untuk menyara kehidupannya, dia mesti bekerja sebagai tukang baiki jam. Namun,
semua itu sama sekali tidak menghalang beliau untuk menjadi seorang alim yang
besar pada masa depan.
Berkat jerih
payah sang Imam dan taufik dari Allah swt, sejumlah karya tulisan beliau mula
diterbitkan dari tangan beliau dalam pelbagai disiplin ilmu seperti fiqh,
akidah dan terutamanaya dalam ilmu hadis yang memang merupakan kepakaran
beliau; yang menunjukkan kepada dunia ilmiah, luasnya ilmu yang telah Allah
anugerahkan kepada beliau; berupa pemahaman yang sahih, ilmu yang luas, dan
kajian yang mendalam tentang hadis, dari pelbagai sisi. Ditambah lagi dengan
jalan beliau vang lurus dan menjadikan al-Qur’an serta as-Sunnah sebagai kayu
ukur dan penentu segala sesuatu. Semua itu menjadikan sang Imam muncul sebagai
seorang yang hebat dan menjadi rujukan ahli ilmu dan dengan keutamaan vang ada
pada dirinya, beliau dikenali oleh pelbagai kalangan. Ketika Universiti Islam
Madinah mula ditubuhkan yang dipelopori oleh Syaikh Muhammad bin Ibrahim Alu
Syaikh at-Tamimi yang saat itu adalah Mufti Kerajaan Saudi Arabia, Shaykh
Albani dipilih untuk menjadi pensyarah Kuliah Hadis di sana.
Di sana sang
Imam sempat mengajar dan mengharungi pelbagai suka dan duka selama tiga tahun.
Pada masa itu, beliau menjadi contoh dan teladan. Kesungguhan dan keikhlasan
beliau mengabdikan diri pada ilmu sehinggakan beliau sering kali bersama para
pelajarnya di atas padang pasir pada waktu rehat di antara mata pelajaran, demi
menjawab pertanyaan dan berbincang dengan pelajar-pelajar beliau.
Beliau adalah
seorang yang sangat rendah hatinya sehinggakan beliau menjadi salah seorang
dari pelajar apabila beliau bersama dengan pelajar-pelajarnya. Tidak hairanlah
kereta peribadi beliau sentiasa dipenuhi dengan para pelajarnya yang ingin
mengambil faedah dari ilmunya.
Beliau telah
menghasilkan tidak kurang dari 119 karya yang sudah dicetak dan masih banyak
lagi dalam bentuk manuskrip. Karya beliau terkenal kerana mempunyai
kesimpulan-kesimpulan yang terperinci dan cermat. Ini menjadikan beliau sebagai
rujukan para ulama dan para penuntut ilmu di bagi negara-negara Islam. Berikut
adalah beberapa hal yang menggambarkan kedudukan beliau dalam dunia Islam:
- Beliau terpilih sebagai anggota pada dewan kajian hadis yang dibentuk oleh Mesir dan Syria bagi memimpin jawatankuasa penerbitan buku-buku Sunnah.
- Beliau juga menjadi pensyarah bidang hadis di Universiti Islam Madinah. Bahkan kemudian beliau dipilih sebagai anggota dewa reaktor di universiti tersebut pada 1381H hingga 1383H, kemudian beliau diambil kembali menjadi anggota dewan reaktor Universiti Islam Madinah pada 1395H hingga 1398H.
- Beliau juga pernah diminta menjadi pensyarah di Universiti as-Salafiyah, India, tetapi beliau menolaknya.
- Beliau juga pernah diminta oleh Menteri Wakaf Saudi Arabdia, Syaikh Hasan Abdullah asy-Syaikh, untuk menjadi pensyarah ilmu hadis di Universiti Makkah al-Mukarramah.
- Perpustakaan azh-Zhahiriyah, di Damasyiq telah menyediakan satu ruang khusus bagi beliau mengkaji dan meneliti terhadap hadis.
Syaikh Abdul
Aziz bin Abdullah bin Baz (mantan Mufti Arab Saudi) mengatakan:
“Saya tidak
pernah mengetahui seorang pun di atas bumi ini yang lebih alim dalam bidang
hadis pada masa kini yang dapat menandingi Syaikh Albani rahimahullah”
Selain itu,
Yusuf al Qaradhawi pernah berkata:
“Syaikh Albani
adalah seorang Ahli hadits yang masyhur dari zaman dahulu dengan ilmu takhrij
haditsnya dan menurutku Syaikh Albani adalah Ulama hadits yang paling masyhur
pada zaman sekarang ini dan ulama yang pakar dalam ilmu takhrij hadis baik
dalam menshohihkan dan melemahkan hadis”
Beliau wafat
pada hari Sabtu 22 Jamadil Akhir 1420 H. Jenazah beliau dipersaksikan dengan
iringan ribuan para pelawat dari pelbagai negara. Semoga Allah melimpahkan
rahmat kepada sang imam yang telah berjasa besar terutamanya dalam bidang hadis
sehingga manfaatnya sampai kepada kita pada hari ini.
0 komentar:
Posting Komentar